Wednesday, May 5, 2010


MIRI 4 Mei - Rakyat Sibu perlu tahu membezakan antara 'kaca dan permata' menjelang Pilihan Raya Kecil Sibu 16 Mei ini ekoran pelbagai janji dan fitnah yang ditabur oleh parti pembangkang.

Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata, kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) ketika ini bukan berjanji kosong pada setiap kali pilihan raya tetapi akan menunaikan setiap janji mereka kepada rakyat.

''Selama ini kerajaan BN yang banyak membawa pembangunan di kawasan Sibu dan tiada siapa yang boleh menafikannya.

''Saya berharap rakyat di Sibu terus memberi sokongan padu kepada kerajaan bagi melancarkan lagi segala pelaksanaan pembangunan yang dirancang di kawasan itu pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Rumah Patrick Libau di Niah dekat sini semalam.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang begitu rakus dalam memburuk-burukkan BN menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu pada 16 Mei ini.

Pada majlis tersebut, Awang Tengah mengumumkan Skim Elektrik Luar Bandar (RES) berjumlah RM3.5 juta untuk Rumah Patrick Libau manakala RM10,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta RM5,000 kepada biro wanitanya.

Dalam pada itu beliau berkata, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini giat memburuk-burukkan BN dengan menimbulkan pelbagai isu yang tidak pernah berlaku dengan harapan dapat meraih undi penduduk di Sibu .

Menurutnya, sebenarnya itu adalah taktik kotor pembangkang dalam usahanya menjatuhkan kerajaan BN.

No comments: