Saturday, April 24, 2010



SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam, menetapkan 16 Mei, sebagai tarikh pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Sibu, manakala penamaan calon, 8 Mei.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, proses penamaan calon dan pengiraan undi rasmi pilihan raya kecil itu akan dilaksanakan di Dewan Suarah, Sibu.

Menurutnya, pilihan raya kecil itu perlu diadakan mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, berikutan kematian, Datuk Robert Lau Hoi Chew, 9 April lalu.

"SPR menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berserta sijil kematian Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, 12 April lalu, dan SPR memastikan kekosongan kerusi Parlimen Sibu pada 10 April," katanya pada sidang media di sini.

“Mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan 60 hari, selepas tarikh kekosongan kerusi itu dipastikan,” katanya. - Bernama

No comments: