Friday, April 30, 2010


Barisan Nasional (BN) negeri tidak gentar dengan hasrat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memastikan DAP menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, 16 Mei ini.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Daud Abdul Rahman sebaliknya berkata, jentera komponen BN negeri akan terus bekerja lebih kuat bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Menurutnya, Anwar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air sebelum ini juga turut menguar-uarkan yang Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menang namun perkara sebaliknya yang berlaku.

''Uar-uar (propaganda) Anwar itu kurang diterima oleh rakyat Sarawak kerana politik negeri ini tidak sama seperti yang berlaku di Semenanjung. Agak sukar bagi rakyat negeri ini menerima isu-isu berbentuk nasional yang cuba dibawa beliau.

''Daripada dulu lagi kita tidak akan gentar dengan cubaan Anwar untuk menawan negeri ini malah kita juga akan tunggu beliau pada pilihan raya negeri yang akan datang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Sains Kuching di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas hasrat Anwar yang mahu memastikan DAP memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau, 68, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan di kediamannya di Kuala Lumpur pada 9 April lalu akibat barah hati.

BN telah mengumumkan akan mencalonkan peguam, Robert Lau Hui Yew, 45, dan beliau akan ditentang Pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng.

Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) memberitahu, jentera komponen BN negeri merangkumi PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) telah mula digerakkan.

Jelas beliau, usaha itu akan dipergiatkan lagi terutamanya selepas hari penamaan calon pada 8 Mei ini.

''Walaupun majoriti pengundi merupakan masyarakat Cina, jentera BN tidak akan melupakan kepentingan baki 35 peratus pemilih di Parlimen Sibu yang merupakan masyarakat Melayu, bumiputera dan sebagainya.

''Justeru, kita (parti komponen) akan bekerja kuat bukan sahaja untuk kemenangan parti malah memastikan BN dapat memenangi majoriti yang lebih besar berbanding pilihan raya sebelum ini," katanya.

No comments: